Dua lelaki warga asing akhirnya dihukum gantung sampai mati akibat kesalahan membunuh seorang pemandu Grab warga tempatan lima tahun yang lalu, oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Tiada Pembelaan Buat Tertuduh

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Kosmo! Online, warga Myanmar Sua Lay, 38, dan seorang warganegara India Gurpreet Singh,28, telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan. Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjelaskan tiada sebarang pembelaan yang timbul dan berbangkit berhubung tragedi pembunuhan pemandu perkhidmatan E-hailing terbabit.

Beliau juga menambah alasan kedua-dua tertuduh yang dikatakan tidak memahami Bahasa Melayu juga tidak boleh diterima kerana tertuduh boleh memberikan arahan kepada mangsa untuk berhenti awal dari tempat asal yang dituju oleh mereka.

Mangsa Dijerut Tanpa Belas Kasihan

“Mangsa dijerut dan ada kecederaan pada leher. Selain itu ada penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua tertuduh pada tali pinggang keledar bahagian pemandu. Walaupun ia tidak dikatakan (pembunuhan) zalim, fakta mayat (mangsa) ditinggal begitu sahaja dalam kereta. Ini menunjukkan tertuduh tiada mempunyai perasaan belas kasihan terhadap si mati”.

“Atas alasan itu, saya bersetuju hujahan pihak pendakwaan dan (menjatuhi) hukuman gantung sampai mati kepada tertuduh”, jelasnya dalam Mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Sua Lay dan Gurpreet Singh didakwa dengan niat bersama-sama membunuh Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, lorong belakang Blok C, Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves dekat sini pada pukul 10.08 malam, 21 Jun 2018. Sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, mangsa ditemui meninggal dunia dengan bahagian kepala di bawah mengenai lantai kenderaan tersebut, manakala kakinya berada di atas.

Kakak Mangsa Luah Rasa Syukur Sempena Hari Asyura

“Sempena Hari Asyura ini, doa kami sekeluarga dimakbulkan.. Alhamdulilah.. Kaklong sayang Aiman”, kapsyen pendek yang ditulis oleh kakak kepada mangsa di laman Facebook, semalam.

Kredit: Kosmo! Online, Facebook Tya Nosri

[fbcomments]