fbpx

Baru-baru ini tular sebuah video berdurasi 16 saat yang memaparkan pergaduhan pada waktu tamat sesi persekolahan pagi, dipercayai berlaku di hadapan sebuah sekolah dekat Sungai Long, Kajang, pada Khamis lalu.

Dua Pelajar Sekolah Dipukul 10 Individu

Memetik laporan Harian Metro, difahamkan dua pelajar sekolah menengah dilaporkan cedera dibahagian kepala dan badan akibat diserang dan dipukul oleh 10 lelaki berbangsa Cina.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang iaitu Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.04 petang.

“Dua pelajar sekolah diserang lebih kurang 10 lelaki tempatan menggunakan senjata paip PVC dan batang besi sebelum melarikan diri menaiki dua buah kenderaan berbeza.

“Kedua-dua mangsa berusia 16 dan 17 tahun telah menerima rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya.

4 Suspek Sudah Ditahan, Yang Lain Polis Masih Mengesan

Tambah Mohd Zaid lagi, polis telah berjaya menahan empat suspek berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun.

“Keempat-empat suspek ditahan sekitar kawasan Ampang semalam. Suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sehingga kini polis masih giat mengesan baki suspek yang terlibat manakala punca kejadian masih tidak dapat dipastikan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 bagi membantu siasatan.

Kredit: Harian Metro, X mynewshub

[fbcomments]