Dua lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan samun bersenjata dan pengedaran dadah maut ditembak polis dalam satu operasi khas di sebuah kondominium di Nilai, Negeri Sembilan pada malam tadi.
![]()
Dua Lelaki Dikehendaki Maut Dalam Serbuan Polis di Nilai, Miliki 87 Rekod Jenayah
Kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 40 tahun itu dikesan sekitar jam 10 malam hasil maklumat risikan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen.
Menurut Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, kehadiran polis disedari suspek yang kemudiannya bertindak agresif dengan melepaskan tembakan. Serangan tersebut memaksa pihak polis melepaskan tembakan balas demi mempertahankan diri.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang memiliki dua pucuk pistol jenis semi auto dan sepucuk revolver yang digunakan mereka dalam kejadian berbalas tembak itu,” jelas beliau.
![]()
Siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun memiliki 11 rekod jenayah, manakala seorang lagi suspek yang berusia 40 tahun mempunyai 76 rekod jenayah lampau termasuk sedang dikehendaki pihak berkuasa.
Kedua-duanya dikenal pasti sebagai anggota kumpulan penjenayah bersenjata yang aktif melakukan jenayah pecah rumah, menyamun premis termasuk kilang dan pusat pengumpulan barangan seperti J\&T, serta terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
Dalam insiden tembak-menembak itu, kenderaan polis dilaporkan terkena tembakan namun tiada anggota yang mengalami kecederaan.
![]()
Polis turut tidak menolak kemungkinan kumpulan ini terlibat dengan sindiket kongsi gelap berikutan penggunaan senjata api secara terbuka.
Lokasi kejadian juga dipercayai dijadikan tempat persinggahan suspek dan pihak berkuasa kini sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi yang disyaki menjadi markas persembunyian mereka.
JSJ memaklumkan operasi memburu ahli kumpulan lain akan diteruskan, termasuk serbuan ke atas premis-premis yang dipercayai menyimpan hasil kegiatan jenayah kumpulan berkenaan.
Kredit: Berita Harian