Padah ambil barang tanpa bayar, dua anggota polis antara empat yang ditahan selepas disyaki terbabit kejadian curi di sebuah kedai serbaneka di SS6 Kelana Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan kejadian daripada pekerja premis berkenaan pada 7 pagi.
Berdasarkan maklumat, seorang wanita memakai vest polis dan mengambil beberapa barang tanpa membuat sebarang pembayaran.
Pekerja premis itu meminta wanita itu membuat bayaran tetapi suspek memberikan alasan bahawa pegawai atasannya akan datang untuk membuat pembayaran dalam tempoh satu jam.
Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta peronda polis jenis Honda Civic.
Berdasarkan pemeriksaan, suspek mengambil lima kotak rokok pelbagai jenama, pemetik api dan gula-gula dianggarkan berjumlah RM146.30.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya lagi, pihaknya sedang menjalankan siasatan menahan dua anggota berusia 31 serta 38 tahun, pada 5 petang hari sama.
Hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua lagi suspek termasuk seorang wanita masing-masing berusia 36 dan 27 tahun di kawasan Petaling Jaya, pada 8.30 malam hari sama.
Semakan mendapati suspek wanita mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk dadah manakala suspek lelaki mempunyai 13 rekod lampau.