Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung video tular memaparkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpuas hati dan menghina kertas soalan mata pelajaran Sejarah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, penahanan dua remaja masing-masing berusia 18 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun jam 10.53 pagi Jumaat.

“Terdahulu, polis mengesan video tular di TikTok dan Facebook yang berlaku di daerah ini.

“Video itu memaparkan seorang pelajar lelaki memakai seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan SPM mata pelajaran Sejarah.

“Pelajar itu juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan serta menghina Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Polis juga dalam serbuan itu merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan suspek.

“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya.

Dua remaja berkenaan sebelum ini telah membuat video permohonan maaf dan berjanji perkara seperti itu tidak akan berulang lagi.

Sumber: Harian Metro

[fbcomments]