Baru-baru ini media melaporkan seorang pelajar dari Kolej Vokasional di Lahad Datu iaitu Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, dilaporkan maut selepas dipukul dan dibelasah oleh 13 rakan penghuni asrama.
Terbaharu, perselisihan faham kehilangan wang berjumlah RM35 dan RM50 dikatakan telah menjadi punca mangsa dipukul kesemua suspek sehingga tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dua Pelajar Kehilangan Wang Jadi Punca Mangsa Dituduh Dan Dipukul Sampai Mati
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu iaitu Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, beliau memaklumkan bahawa hasil siasatan polis mendapati kejadian tercetus apabila timbul masalah dua pelajar di asrama terbabit kehilangan wang berjumlah RM35 dan RM50.
“Mangsa dituduh sebagai pencuri dan dipukul sehingga mati oleh semua suspek. Polis telah menahan seramai 13 pelajar lelaki kolej vokasional yang berusia 16 hingga 19 tahun yang disyaki terbabit dalam kes ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Katanya, pihak Mahkamah Lahad Datu juga telah membenarkan tahanan reman selama enam hari bermula 23 hingga 29 Mac 2024.
“Setakat ini, polis turut mengambil keterangan ke atas 12 saksi bebas yang antaranya empat warden asrama, pengawal keselamatan dan beberapa pelajar kolej terbabit. Selain daripada itu, ujian saringan air kencing terhadap semua suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah dan polis turut merampas lagi 12 telefon pintar milik suspek,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Dr Rohan berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa daripada Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi mengenal pasti punca kematian sebenar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kredit: Berita Harian