Pelakon Edika Yusof akhirnya bersetuju untuk melafazkan cerai terhadap isterinya, Nor Hidayah Yusri, selepas lebih dua dekad mendirikan rumah tangga.
Keputusan tersebut dibuat selepas beliau menerima hakikat bahawa isterinya benar-benar tidak mahu lagi meneruskan perkahwinan mereka.
![]()
Edika Yusof Bersedia Lafaz Cerai 5 Mei, Akui Reda Dengan Permintaan Isteri
Menurut Edika, beliau pada awalnya sudah bersedia untuk melafazkan talak ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu, namun sesi tersebut ditangguhkan ke 5 Mei berikutan keadaan Hidayah yang tidak mengizinkan dari segi hukum.
“Saya dah reda. Kalau dia dah tak mahu, saya ikut saja. Sepatutnya lafaz hari ini tapi dia tak suci, jadi saya akan lafaz pada tarikh sebutan akan datang,” katanya dengan nada tenang ketika ditemui pihak media selepas prosiding.
![]()
Mengulas mengenai dakwaan yang dikemukakan isterinya dalam permohonan cerai, Edika secara tegas menafikan semua tuduhan yang dikatakan menjadi punca utama keretakan rumah tangga mereka, termasuk dakwaan bahawa beliau pernah mengasari atau menghina Hidayah.
“Kesemua tuduhan tu saya tolak. Saya tak pernah buat macam tu. Sejak dia sakit hampir 19 tahun, saya yang jaga. Bukan nak menunjuk, tapi itu memang tanggungjawab saya sebagai suami,” jelasnya.
![]()
Pasangan ini mendirikan rumah tangga hampir 22 tahun dan dikurniakan dua cahaya mata, selain seorang lagi anak tiri hasil perkahwinan Hidayah yang terdahulu. Perkahwinan mereka sebelum ini sering dijadikan contoh kerana ketabahan Edika menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan akibat demam panas sejak tahun 2005.
Kredit: Mstar