Edry Abdul Halim sudah bermastautin di Manchester, United Kingdom bersama isteri dan anak-anak selama hampir lima tahun.
Komposer itu berkata kepada Berita Harian, tujuannya tinggal di sana adalah untuk memberi pendidikan terbaik buat anak istimewanya, Emery, 16, yang menghidap autisme.
Edry berkata anaknya itu menunjukkan perkembangan positif hari demi hari dan sudah mampu mula mengurus diri. Meskipun masih belum mampu bercakap, Edry dan pasangan gembira dengan perkembangan anaknya itu.
“Sebaik berpindah ke Manchester, kami mula kurangkan jangkaan terhadap perkembangan Emery.
“Kami tidak lagi tunggu bila cikgu akan mengajar dia bercakap. Sebaliknya, kami terima seadanya keadaan anak kami.
“Lagipun, apa yang diajar sekolah di UK lebih kepada asas kehidupan seperti penggunaan tandas, keselamatan di dapur, melintas jalan dan lain-lain.
Anak sudah suka berjalan
Edry bersyukur apabila anaknya yang sebelum ini lebih suka duduk di kereta sorong, kini mahu berjalan.
“Sebelum ini, Emery tidak suka berjalan. Sebaliknya, lebih suka duduk kereta sorong anak kecil, walaupun sudah besar. Tetapi sejak belajar di sini, dia sudah mula berjalan. Emery boleh menguruskan diri sendiri sedikit sebanyak.
“Itu sudah cukup membuatkan saya dan isteri gembira kerana kami mahu melihat dia pandai berdikari. Berikutan Emery belum boleh bercakap, kami berkomunikasi menggunakan aplikasi. Dia menaip apa yang dimahukan melalui aplikasi itu,” katanya.
Apabila ditanya jika Edry dan isteri ada perancangan untuk pulang ke tanah air, Edry mengakui belum merancang untuk perkara tersebut.
“Saya tidak nafikan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Jadi, lebih baik di negeri sendiri. Perancangan untuk pulang ke Malaysia ada, tetapi bukan pada waktu terdekat kerana Emery masih belajar.
Tidak kisah jika anak tidak mahu pulang ke Tanah Air
“Dua anak saya yang dewasa sudah bekerja dan belajar di kolej. Jika mereka ingin terus menetap di Manchester, saya tiada halangan kerana mereka sudah besar… Itu pilihan mereka,” katanya.
Selain Emery, Edry dan isterinya, Milia dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Emil, 23; Edylia, 20, dan Elya, 13.
Sumber: Berita Harian