Seorang wanita yang bekerja sebagai ejen insurans direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengugut serta menyebarkan gambar tidak senonoh madunya yang juga seorang guru wanita.

Ejen Insurans Direman Dua Hari, Disyaki Ugut dan Sebar Gambar Tidak Senonoh Madunya

Perintah reman ke atas suspek berusia 53 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka semalam selepas permohonan dikemukakan oleh pihak polis di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.

Penahanan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 507 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah dan penghinaan terhadap kehormatan seseorang.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 10.15 malam Ahad oleh sepasukan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Wanita itu yang merupakan ibu kepada empat anak sebelum ini dilaporkan sebagai individu dikehendaki bagi membantu siasatan kes.

Difahamkan, kes mula disiasat selepas madunya yang berusia 47 tahun membuat laporan polis berhubung penerimaan sepucuk surat yang disertakan gambar bogel dirinya serta suami, yang diterima oleh bapanya di Klebang, Melaka.

Mangsa mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pada 27 Mac lalu selepas mendakwa diganggu secara berterusan oleh suspek selain bimbang gambar tersebut tersebar lebih meluas.

Sementara itu, peguam mewakili suspek, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh memaklumkan bahawa pihaknya membantah permohonan reman selama empat hari yang dikemukakan oleh polis dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan sewajarnya.

Kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]