Pelakon veteran Kartina Aziz baru-baru ini mendedahkan realiti sebenar yang dihadapi oleh pelajar praktikal dalam industri perfileman, termasuk isu penganiayaan dan layanan tidak adil. Beliau berkongsi pengalaman seorang pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ditugaskan sebagai pembantu pengarah.

Namun, pelajar itu pada hakikatnya hanya dikerahkan melakukan kerja berat, seperti menarik kabel, bukannya belajar dan menimba pengalaman sebenar yang sepatutnya.

Elaun Rendah dan Kerja Berat, Kartina Aziz Dedah Realiti Pelajar Praktikal

Kartina turut menekankan isu bayaran yang tidak setimpal. Menurut laporan mStar, beliau pernah melihat pelajar praktikal menerima elaun yang sangat rendah, termasuk ada yang hanya dibayar RM150, jumlah yang jelas tidak sepadan dengan tanggungjawab dan kerja yang dilakukan sepanjang penglibatan mereka dalam produksi. Beliau menegaskan bahawa pelajar sepatutnya diberikan peluang untuk mempelajari tugas sebenar dalam jawatan mereka, bukan sekadar melakukan kerja fizikal tanpa pembelajaran.

Beliau yang terkenal rapat dengan kru produksi mengakui sering mengetahui perkara sebenar yang berlaku di sebalik tabir.

“Bagi saya, itu tidak patut. Syukurlah kru produksi lain baik dengan saya, dan saya anggap mereka seperti anak sendiri, sebab itu saya layan mereka dengan baik,” katanya.

Selain isu bayaran, Kartina turut mendedahkan tekanan mental yang dihadapi pelajar. Mereka kerap menerima amaran keras jika gagal menunaikan tugasan diberikan, malah ada yang berisiko perlu mengulang peperiksaan kerana tidak memenuhi tuntutan kerja. Situasi ini menambah beban kepada pelajar yang sepatutnya menimba pengalaman dan ilmu dalam industri.

Apa yang lebih mengecewakan, menurut Kartina, adalah sikap sesetengah pihak yang masih mengagungkan pengarah tertentu sebagai profesional, walhal perlakuan sebenar yang berlaku jauh daripada standard profesionalisme yang sepatutnya. Kartina berharap agar kebajikan dan hak pelajar praktikal lebih diutamakan supaya mereka dapat belajar dan mendapat pengalaman industri dengan adil dan bermakna.

Kredit: mStar

 

[fbcomments]