Pelakon terkenal Emma Maembong baru-baru ini mengesahkan perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar, setelah beberapa spekulasi tersebar.

Tanpa sebarang kontroversi besar atau tanda-tanda awal, Emma juga mendedahkan bahawa tempoh idahnya telah pun selesai.

Sudah Lama Bercerai, Baru Habis Tempoh Idah

Dalam kenyataan yang dipetik daripada Harian Metro, Emma menegaskan bahawa perpisahan mereka berlaku secara baik dan harmoni.

“Ya, kami sudah bercerai, dan tempoh idah saya telah tamat,” katanya dengan tenang.

Emma turut menjelaskan bahawa keputusannya untuk tidak terlalu terbuka mengenai masalah rumah tangga adalah kerana tidak mahu menambah kekusutan, apatah lagi isu keretakan rumah tangganya sudah menjadi perbualan hangat di forum-forum gosip dalam talian.

Menariknya, meskipun berpisah, Emma masih kerap memuat naik gambar bersama Muhammad Shazli di media sosial, menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat sama ada mereka masih bersama atau sebaliknya. Menurutnya, tindakan itu dilakukan semata-mata untuk menjaga perasaan anak-anak mereka agar tidak terlalu terkesan dengan perpisahan tersebut.

“Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya walaupun saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan media sebelum ini. Sebenarnya tujuan saya masih memuat naik foto bersama bekas suami di Instagram hanyalah untuk menjaga emosi anak-anak supaya mereka tidak terkesan dengan perpisahan ini. Saya nak anak-anak saya melihat keluarganya masih bahagia,” jelasnya.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 32, turut menyatakan bahawa dia tidak mahu berkongsi butiran lanjut mengenai perpisahan tersebut kerana menganggap ia sebagai hal yang sangat peribadi.

“Bagi saya, perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman.

“Namun, disebabkan hari ini saya menerima panggilan anda (media), saya rasa sudah tiba masanya untuk beritahu kepada umum supaya ia tidak lagi ditanya. Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,” tambah Emma lagi.

Meskipun sudah berpisah, hubungan Emma dan bekas suaminya masih dalam keadaan baik, terutama sekali dalam menguruskan anak-anak mereka. Kedua-dua pihak dikatakan menerima takdir ini dengan penuh reda, dan masing-masing bersikap terbuka dalam menghadapi kenyataan bahawa jodoh mereka hanya setakat ini sahaja.

Untuk rekod, Emma dan Muhammad Shazli telah melangsungkan perkahwinan pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]