Selepas hampir setahun tertangguh, proses lelongan melibatkan empat kereta mewah dan ratusan barangan peribadi milik usahawan terkenal, Datuk Seri Vida, akhirnya ditetapkan berlangsung pada 30 Oktober ini.
Lelongan Barangan dan Kereta Mewah Datuk Seri Vida Dijadual Berlangsung 30 Oktober Ini
Menurut laporan Buletin TV3, langkah itu dibuat selepas pihak pemiutang, AH Design Communication Sdn. Bhd., menyiarkan notis perisytiharan jualan lelong di sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris. Ia susulan kegagalan Vida melunaskan tunggakan hutang lebih RM1 juta kepada syarikat subkontraktor berkenaan sejak tahun 2018.
Difahamkan, sebelum ini Vida cuba menangguhkan proses tersebut dengan alasan barangan yang disita merupakan barangan pinjaman. Namun, mahkamah menolak permohonan itu selepas pihaknya gagal mengemukakan sebarang bukti kukuh bagi menyokong dakwaan tersebut.
Terdahulu, sekitar 727 barangan milik Vida telah disita dalam satu operasi selama lima jam di kediaman mewahnya di Ipoh pada 25 November tahun lalu. Antara barangan yang dirampas termasuk pembakar roti jenama Sharp, penapis air Coway, meja solek, peti sejuk serta empat buah kereta mewah.
Proses lelongan tersebut sepatutnya berlangsung pada 9 Disember tahun lalu, namun ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Vida untuk menangguhkannya.
Kredit: Buletin TV3