Tugas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang Ramadan bukan sekadar memastikan kelancaran bazar Ramadan, tetapi juga berdepan cabaran daripada segelintir peniaga yang ingkar terhadap peraturan yang ditetapkan.

Terbaharu, satu insiden tegang berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman apabila beberapa individu bertindak agresif terhadap pegawai DBKL yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan.

Video di bawah:

https://www.facebook.com/share/v/1JCiJD8Vfu/?mibextid=wwXIfr

Enggan Patuhi Arahan, Peniaga Jalan TAR Cabar Pegawai DBKL Bergaduh

Insiden yang dirakam dan tular di media sosial itu menunjukkan beberapa individu berang serta mencabar pegawai DBKL untuk bergaduh selepas dihalang daripada berniaga di laluan pejalan kaki.

Siasatan awal mendapati, kumpulan individu terbabit dipercayai tidak mempunyai lesen sah untuk berniaga dan terdiri daripada warga asing.

Keengganan mereka mematuhi arahan pihak berkuasa menyebabkan DBKL terpaksa mengambil tindakan dengan merampas barangan jualan serta mengusir mereka dari kawasan tersebut bagi memastikan kelancaran laluan awam.

Sehingga kini, DBKL masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu. Namun, tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa tempatan sepanjang Ramadan ini mendapat sokongan ramai kerana ia dilihat sebagai langkah proaktif dalam menangani isu peniaga haram.

Sebelum ini, DBKL pernah berdepan insiden lebih mencabar apabila seorang pegawainya cedera selepas digigit oleh seorang peniaga yang cuba mengelak daripada tindakan penguatkuasaan.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]