Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia kira-kira enam jam selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal yang berlaku di Jalan Get Paloh, semalam.

Kanak-Kanak Lelaki Meninggal Dunia Beberapa Jam Selepas Terlibat Kemalangan Motosikal di Johor

Dalam kejadian sekitar jam 1.10 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Harith Isyraf Yuzaini, dipercayai menunggang motosikal seorang diri sebelum terbabas dan melanggar batu penghadang jalan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah bapa saudaranya di Jalan Tengah, Paloh menuju ke sebuah kedai runcit di Pekan Paloh.

Akibat insiden tersebut, mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke sebuah klinik swasta di Kluang untuk menerima rawatan awal, sebelum dibawa ke sebuah lagi klinik swasta di Gelang Patah.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan lanjut. Namun difahamkan, mangsa enggan ke hospital dan akhirnya dibawa pulang oleh bapanya ke rumah mereka di Gelang Patah,” katanya dalam kenyataan media.

Malangnya, Muhammad Harith dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berehat di rumah dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 9 malam pada hari yang sama.

Kredit: Malaysia Gazette

[fbcomments]