Pemain bola sepak kebangsaan iaitu Faisal Halim dilaporkan telah berjaya selamat menjalani pembedahan pertama dan kini beliau sedang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Shah Alam.
Selamat Pembedahan Pertama, Tapi Doktor Sahkan Faisal Melecur Tahap Empat
Memetik laporan Kosmo!, Faisal bagaimanapun dikhabarkan perlu menjalani beberapa siri pembedahan lain susulan dirinya mengalami lecur tahap empat selepas menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli belah yang terletak di Kota Damansara pada petang Ahad lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) iaitu Datuk Seri Shahril Mokhtar sesudah melawat Faisal di hospital.
“Kami bertemu dengan Faisal di hospital pertama selepas dia dirawat. Dia boleh bercakap dan berkomunikasi, dalam nada yang rendah. Kemudian kelab memindahkannya ke hospital panel dan ketika itulah kami dimaklumkan bahawa dia perlu dibedah kerana keadaan kulitnya yang agak teruk.
“Kami turut dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa dia mengalami lecur tahap empat dan bukanlah tahap dua. Ia agak teruk dan dia tidak dapat rasa lengan kirinya,” katanya.
Perlu Dapatkan Rawatan Sekurang-Kurangnya 3 Hingga 4 Minggu
Tambah Shahril lagi, pemain berusia 26 tahun itu juga perlu berada di hospital sekurang-kurangnya tiga hingga ke empat minggu lamanya untuk menjalani rawatan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan Faisal telah menjadi mangsa simbahan asid ketika sedang membawa ahli keluarganya ke sebuah pusat beli belah di Kota Damansara pada petang Ahad.
Lebih mengerikan apabila dua pelaku yang menjadi suspek penyimbahan asid tersebut turut mengucapkan ‘good luck’ kepada Faisal sebelum menyimbah cecair kimia ke arah mangsa.
Walau bagaimanapun, pihak polis berjaya memberkas dan menahan reman seorang individu yang dipercayai terlibat dengan perbuatan khianat ini.
Kredit: Kosmo!