Selepas berehat selama hampir tiga bulan akibat kecederaan, Faisal Halim, bintang Selangor FC yang lebih dikenali sebagai Mickey, kembali mengejutkan semua apabila tersenarai dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA malam tadi.
Terkejut Nama Disenaraikan
Kegembiraan jelas terpancar di wajah Mickey yang merasakan kehadirannya di padang memberikan suntikan semangat baru kepada dirinya dan pasukan.
“Memang tak sangka bila tahu saya tersenarai. Walaupun tak bermain, saya rasa sangat gembira dapat beri semangat kepada kawan-kawan di padang. Hampir tiga bulan saya berehat dan mengalami kecederaan ini memang menyedihkan.
“Tapi, malam ini di Stadium MBPJ, saya dapat rasakan semangat baru yang menyala,” kata Mickey dengan penuh emosi.
Selangor FC yang sebelumnya ketinggalan satu gol setelah tewas 2-3 kepada Terengganu FC dalam separuh akhir pertama, berjaya bangkit dengan penuh gaya malam tadi.
Mereka mempamerkan aksi cemerlang dan menang 6-4 secara agregat, sekaligus melayakkan diri ke final Piala FA.
Untuk pengetahuan semua, Mickey mengalami kecederaan serius selepas menjadi mangsa serangan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.
Akibat insiden tersebut, dia mengalami lecur tahap empat dan terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.
Namun, dengan semangat yang tinggi dan tekad untuk kembali ke padang, Mickey pulih lebih cepat daripada jangkaan. Kembalinya Mickey, walaupun belum sepenuhnya pulih, membawa harapan dan inspirasi kepada seluruh pasukan dan penyokong Selangor FC.
Kredit: Harian Metro