Pelakon Fathia Latiff tidak berkecil hati apabila wajahnya sering menjadi topik perbualan di media sosial. Menyedari perubahan fizikalnya menjadi perhatian, Fathia atau nama penuhnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 38, menganggap ia sebagai hak individu untuk menyuarakan pendapat masing-masing.

Fathia Latiff Akui Perubahan Wajah Disebabkan Usia, Tidak Ambil Hati Komen Netizen

Menurut Fathia, faktor usia adalah antara penyebab utama perubahan pada raut wajahnya, namun dia tidak melihatnya sebagai sesuatu yang perlu diperbesar-besarkan.

“Itu pendapat masing-masing. Bagi saya wajah saya tetap sama. Mungkin perubahan yang dilihat berpunca daripada faktor usia. Saya tidak marah kepada mereka yang memperkatakan mengenai wajah saya kerana itu hak masing-masing untuk berpendapat. Saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Bidaah yang bakal ditayangkan di platform penstriman Viu bermula 6 Mac ini turut mengakui bahawa dia ada menjalani rawatan kecantikan bagi menjaga penampilan.

“Saya ada ‘eye bags’ dan buat rawatan untuk menghilangkannya. Selain itu, saya buat rawatan melicinkan kulit. Rawatan yang ekstrem saya tidak buat,” jelasnya.

Mengulas mengenai kehadirannya di media sosial, Fathia berkata dia kini lebih selektif dalam memuat naik hantaran serta jarang membaca komen demi menjaga kesihatan mental. Katanya, dia lebih fokus berkongsi mengenai kerjaya dan projek lakonannya sahaja.

Kredit: Harian Metro

 

 

[fbcomments]