Selepas 18 tahun melayari bahtera perkahwinan, penyanyi dan cef selebriti, Fazley Yaakob, sah bercerai dengan Azrene Soraya Abdul Aziz beberapa bulan yang lalu.

Fazley Sendiri Failkan Cerai, Isteri Sudah Tamat Tempoh Idah

Menurut laporan Kosmo!, Fazley atau nama penuhnya, Dato’ Ahmad Fazley Yaakob, 46, berkongsi berita duka tersebut, sambil menjelaskan bahawa keputusan tersebut dicapai atas persetujuan bersama.

Fazley mengakui beliau sendiri yang memfailkan perceraian beberapa bulan lalu, dan kini tempoh idah juga telah berakhir.

“Saya sendiri telah memfailkan penceraian beberapa bulan yang lalu dan tempoh idah telah pun tamat,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Fazley turut memaklumkan bahawa hak penjagaan keempat-empat anak mereka akan dikongsi bersama, dan berharap pengumuman ini dapat memperjelaskan status hubungan mereka kini.

“Empat anak kami kini di bawah hak jagaan bersama. Semoga dengan penjelasan ini, tidak akan ada lagi kekeliruan tentang hubungan kami berdua selepas ini,” tambahnya.

Walaupun sudah berpisah, Fazley menegaskan hubungan antara dirinya dan bekas isteri masih baik seperti ketika awal perkenalan mereka.

Untuk makluman, Fazley dan Azrene telah berkahwin pada November 2007, dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu, Ahmad Fariedz Shah, 15, Ahmad Fieradz Shah, 14, Ahmad Fierudz Shah, 13, dan seorang anak perempuan, Alayna Selma, yang kini berusia 7 tahun.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]