Penerbit filem Pulau, Fred Chong menolak dakwaan menjual adegan panas dalam filemnya Pulau.
Penerbit itu berkata tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak menerusi tayangan ‘trailer’ filem itu yang didakwa tidak sesuai kerana mengandungi aksi panas dan berbaur lucah.
Malah, Chong dalam satu kenyataan berkata, apa yang dilihat dalam ‘trailer’ itu hanya satu peratus daripada keseluruhan filem.
“Saya berharap masyarakat tidak membuat andaian sebelum menonton filem ini secara keseluruhan,” katanya.
“Hasrat kami hanyalah mempromosikan keindahan pulau di Malaysia dan tidak berniat ‘menjual’ adegan panas seperti dakwaan ramai.

“Kami ada perancangan membawa Pulau ke pasaran luar. Ini dapat membantu mempromosikan tempat menarik di Malaysia.
“Jadi, mungkin kerana itu, filem ini mendapat kelulusan LPF,” tambahnya lagi.
Chong juga berkata ada beberapa babak yang telah disunting kerana tidak sesuai dengan penonton tempatan.
“Memang ada beberapa babak dipotong di mana kerja itu dilakukan tahun lalu.”

“Bagi saya, penampilan pelakon wanita dalam filem itu adalah sesuai dengan lokasinya iaitu di pulau,” katanya.
Chong berkata, adalah normal untuk untuk pengunjung pantai atau pulau berbikini.
“Jadi, saya tampilkan pelakon berbilang bangsa mengikut kesesuaian watak dan babak.
“Mereka yang ingin tahu sama ada filem ini melampau atau tidak kenalah tonton terlebih dahulu.
Trailer filem Pulau yang mengisahkan kembara sekumpulan anak muda ke sebuah pulau berhantu dimuat naik di YouTube, lima hari lalu, dan mengundang kritikan pelbagai pihak yang mempersoalkan bagaimana naskhah arahan Euho itu lulus tayangan pawagam.
Rata-rata netizen terkejut dengan paparan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini dan adegan intim ala Hollywood, malah, ada yang mengklasifikasikan naskhah terbabit sebagai ‘soft porn’ yang dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan nilai moral bagi filem tempatan.
Filem arahan Euho itu membariskan pelakon seperti Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Nam Ron dan ramai lagi.
Sumber: Berita Harian