fbpx

Pemain badminton perseorangan wanita negara iaitu Goh Jin Wei meluahkan rasa sedih dan terkilan apabila dia terpaksa berjuang bersendirian tanpa jurulatihnya Nova Armada di sisi di Sukan Olimpik 2024 yang bakal berlangsung di Paris tidak lama lagi.

Hanya Dia Sahaja Yang Tiada Coach Pada Aksi Perlawanan

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Jin Wei mendedahkan bahawa usaha untuk membawa jurulatihnya ke Sukan Olimpik Paris telah menemui kegagalan akibat kuota kad akreditasi yang terhad. Jin Wei meluahkan rasa kecewanya kerana hanya dirinya sahaja yang tidak akan mempunyai jurulatih di sisinya semasa aksi perlawanan di Olimpik kelak.

“Saya tidak dapat membawa jurulatih bersama saya kerana kuota kad akreditasi yang terhad. Saya rasa, saya satu-satunya atlet yang datang tanpa jurulatih.

“Selama ini, saya tidak meminta apa-apa dan ini adalah kali pertama saya bersuara. Berharap jurulatih dapat bersama saya di acara paling prestij yang mungkin sekali seumur hidup. Saya faham ada perkara yang lebih utama tetapi kenapa saya sahaja yang diketepikan?” luahnya.

Walaupun menyedari betapa mencabarnya untuk beraksi tanpa bimbingan jurulatih di belakang gelanggang, pemain ranking ke-33 dunia itu tetap bertekad untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Beliau memahami betapa pentingnya panduan jurulatih, namun tetap optimis untuk menghadapi cabaran ini dengan penuh semangat.

Sementara itu, di ruangan komen, ramai penyokong meluahkan rasa simpati dan kebimbangan terhadap situasi Jin Wei. Mereka berharap agar pihak yang berkaitan dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu ini sebelum temasya sukan bermula pada Julai nanti. Penyokong-penyokong ini percaya bahawa dengan adanya jurulatih di sisinya, Jin Wei akan dapat memberikan prestasi terbaiknya di Olimpik Paris 2024.

Kredit: Instagram jinweigoh

[fbcomments]