Empat lelaki termasuk seorang warga emas dikenakan hukuman denda RM800 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah terlibat dalam pergaduhan di Bandar Setia Alam, yang dipercayai berpunca daripada pertikaian melibatkan teman wanita.

Empat Lelaki Didenda RM800 Akibat Bergaduh Di Setia Alam Gara-Gara Isu Teman Wanita

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman terhadap tertuduh, Yap Sin Huat, 69, Che Kim Cing, 44, Gan Yan Ging, 22, dan See Yi Boon, 22, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan menimbulkan kekecohan dan mengganggu ketenteraman awam di kawasan tepi jalan sekitar jam 3.30 petang pada 23 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM1,000 jika sabit kesalahan. Dalam prosiding tersebut, peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan atas alasan keempat-empat tertuduh sudah insaf dan menyesali perbuatan mereka.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar, menegaskan hukuman wajar dikenakan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

Sebelum ini, polis mengesahkan pergaduhan di Jalan Setia Y U13/Y, Bandar Setia Alam, berlaku akibat perebutan teman wanita, membabitkan empat lelaki tempatan dengan laporan kejadian diterima sekitar jam 3.51 petang.

Kredit: Sinar Harian

 

 

 

 

[fbcomments]