Polis menahan tiga lelaki berusia antara 49 hingga 61 tahun selepas disyaki terbabit dalam kejadian memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di kawasan medan selera Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Setapak baru-baru ini.

Video di bawah:

https://www.facebook.com/share/r/14NuNVhEK9E/

Tiga Lelaki Ditahan Pukul Kanak-Kanak 12 Tahun di PPR Setapak

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penahanan dilakukan hasil siasatan susulan penularan satu video di media sosial yang memaparkan kejadian tersebut. Menurutnya, tangkapan pertama dibuat di Kelantan kelmarin, manakala dua lagi suspek diberkas di sekitar ibu negara pada semalam.

Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada tuduhan kononnya mangsa mencuri pengecas bateri milik rakan salah seorang suspek. Dalam video yang tular itu, mangsa dilihat dikepung tiga lelaki dewasa sebelum ditampar dan dipukul beberapa kali, walaupun dilihat menafikan dakwaan tersebut.

“Susulan itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 49 hingga 61 tahun telah ditahan di lokasi berasingan di Kelantan dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi dan mulut serta menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Kredit: Harian Metro

 

 

[fbcomments]