Sebuah klinik pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian berdepan tindakan tegas apabila diarahkan menutup operasi selama 30 hari selepas dikesan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mencetuskan perhatian di media sosial.
![]()
Premis Pergigian Di Pontian Dikenakan Tindakan Tutup 30 Hari Gara-Gara Jalur Gemilang Terbalik
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abd Azim Shamsuddin, memaklumkan notis penutupan itu telah diserahkan kepada pemilik premis berkenaan sekitar jam 8.20 pagi Khamis.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati klinik tersebut gagal mematuhi ketetapan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian 2019 yang mewajibkan pengibaran bendera dalam keadaan betul, terutama ketika sambutan bulan kemerdekaan.
![]()
“Di bawah peruntukan UUK 49(2), Yang Dipertua berkuasa menutup mana-mana premis berlesen sekiranya terdapat pelanggaran syarat yang ditetapkan. Dalam kes ini, tindakan pengibaran Jalur Gemilang secara songsang dianggap menyalahi syarat lesen,” katanya.
Tambahnya, pemilik premis masih diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan secara bertulis sepanjang tempoh penutupan, namun keputusan muktamad tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa tempatan.
Kredit: Berita Harian