Seorang pelajar tingkatan satu ditampar senior akibat cemburu hanya disebabkan mangsa rapat dengan teman lelakinya, dalam satu kejadian di daerah Kerian baru-baru ini.
Video di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZSYmtAfaG/
Pelajar Tingkatan Satu Dibuli 2 Pelajar Senior
Menerusi sebuah video tular yang dikongsikan, jelas kelihatan seorang pelajar perempuan dibuli oleh dua pelajar lain di dalam tandas yang turut memaparkan mangsa telah ditampar sebanyak tiga kali oleh pelajar yang memakai baju berwarna hijau, manakala rakannya yang lain juga memberi satu tamparan.
Ketua Polis Perak iaitu Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan bahawa, pihaknya telah melakukan siasatan selepas menerima laporan daripada pelajar perempuan berusia 13 tahun pada Selasa.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku pada 14 Jun lalu sekitar jam 10.30 pagi di sebuah sekolah.
“Dalam kejadian itu, suspek telah membawa mangsa ke tandas dan dia bersama seorang lagi rakannya menampar mangsa berulang kali dan merakam video kejadian tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Kata beliau, kejadian tercetus akibat rasa cemburu suspek terhadap mangsa yang dikatakan rapat dengan teman lelakinya yang juga dari sekolah menengah berkenaan di daerah Kerian.
“Mangsa dikatakan rapat dengan teman lelaki suspek yang juga berusia 15 tahun di sekolah berkenaan.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya lagi.
Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes tersebut dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di talian 05-7212222 bagi membantu siasatan.
Kredit: Sinar Harian, TikTok Berita Telus