fbpx

Seorang lelaki bertindak luar kawalan apabila dia memaki dan menahan sebuah kereta dipercayai kerana perselisihan faham yang berlaku dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Pagoh, Muar, Johor pada Isnin.

Tak Puas Hati Kereta Kena Potong

Menerusi video yang dimuat naik oleh @update11111 di laman X, difahamkan mangsa kejadian mendakwa pelaku bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati selepas keretanya dipotong di laluan lorong kanan.

Pada masa yang sama, pemandu kereta jenis Perodua Alza tersebut dikatakan sengaja memulakan provokasi dan menghalang mangsa daripada memintas kenderaannya. Pergaduhan itu dilihat berterusan apabila lelaki terbabit kemudiannya menunjukkan tanda isyarat lucah dan mengetuk tingkap mangsa beberapa kali.

“Kemeriahan jalan raya ini berlaku apabila lelaki itu sengaja tidak memberi laluan untuk pintas kenderaannya, rasa bengang apabila mendapati saya pintas dia dari lorong kanan.

“Walaupun tahu ada isteri dan anak-anak di dalam keretanya, dia tidak teragak-agak untuk meletakkan semua nyawa dalam bahaya, terus mengekori saya dan menunjukkan sikapnya yang tidak profesional.

“Dia tidak pernah peduli tentang keselamatan jalan raya, kuat membawa emosi, dekati saya untuk menunjukkan segala kemarahannya dengan memanggil saya untuk bergaduh di tengah-tengah lebuh raya dengan membahayakan nyawa ahli keluarganya dengan menghentikan keretanya di laluan tersebut,” tulis mangsa di laman sesawang tersebut.

Kedua-Dua Individu Terbabit Akan Ditahan Untuk Siasatan Lanjut

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar iaitu Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan bahawa pihaknya akan menahan dua lelaki terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut Raiz Mukhliz, kedua-dua individu tersebut masing-masing berusia 26 dan 32 tahun dan kejadian dipercayai berlaku akibat rasa tidak puas hati apabila salah seorang daripada lelaki itu memberhentikan kenderaannya secara mengejut dalam kejadian di Kilometer 134, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai dapat mengelakkan diri daripada menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta bersikap toleransi ketika di jalan raya.

Kredit: Majoriti Official, X update11111

[fbcomments]