Seorang penunggang motosikal cedera selepas dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Dato Yusof Shahbudin 28, Bandar Sentosa, Klang, Selangor pada malam Sabtu.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 10 malam itu dipercayai berpunca daripada salah faham di jalan raya antara mangsa berusia 50 tahun dan pemandu kereta berumur 37 tahun.

Video di bawah:
https://x.com/MoMoT_Nadine/status/1916363903547937012

Penunggang Motosikal Cedera Diseret Kereta Gara-Gara Salah Faham Atas Jalan Raya

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, siasatan mendapati mangsa ketika itu sedang menunggang motosikal dan cuba mengelak jalan yang tidak rata. Namun, tindakan itu disalah anggap oleh pemandu kereta sebagai berbahaya, sebelum dia membunyikan hon.

Tindakan tersebut mengundang rasa tidak puas hati mangsa yang kemudian mengejar kereta suspek hingga berlaku pertengkaran. Ketika pergaduhan, mangsa dipercayai mengetuk cermin hadapan kereta menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan cermin tersebut retak.

Susulan insiden itu, suspek bertindak melanggar mangsa sehingga mangsa diseret di bawah kenderaan. Selepas kejadian, suspek melarikan diri manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki dan bahu kiri namun berada dalam keadaan stabil.

Pihak polis berjaya menahan suspek dan dia kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Dalam masa yang sama, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video kejadian bagi mengelakkan kekeliruan dan mengganggu proses siasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222.

Kredit: Majoriti Official

 

 

 

[fbcomments]