Seorang wanita meluahkan rasa syukur apabila gelang emasnya yang hilang bernilai RM8,500 akhirnya dipulangkan semula baru-baru ini.
Gelang Emas Hilang 5 Bulan
Menerusi laporan Mstar, wanita yang dikenali sebagai Norhazwani Che Wahid berkongsi kisah dengan menceritakan gelang emas kepunyaan adiknya itu telah hilang selama lima bulan sewaktu mereka pulang dari sebuah kedai aksesori kereta di Terengganu. Difahamkan adiknya menyedari gelang tersebut sudah tiada di dalam beg galas yang selalu dibawanya setelah mereka pulang ke rumah di Kuala Nerus.
“Adik saya sedar gelang dia dah tak ada semasa beli makanan di warung berdekatan dengan rumah. Masa dia nak keluarkan duit dari handbag, dia perasan gelang tu dah hilang. Saya cakap mungkin terjatuh tapi dia cakap tak mungkin sebab barang lain masih ada. Jadi kami cuba ingat semula semua tempat kami singgah.
“Sebelum hilang tu kami ada singgah di sebuah pusat pameran untuk ambil kereta baharu dibeli adik saya. Kemudian kami berempat pergi ke kedai aksesori pula bersama ibu dan sepupu saya”, cerita Wani.
Mimpi Wajah Orang Sama 5 Kali
Tambah Wani lagi, beliau memaklumkan bahawa beg tangan adiknya tertinggal sewaktu pekerja premis tersebut menukar aksesori kereta baharunya. Gelang emas seberat 34.33 gram bernilai RM8,500 itu adalah merupakan hadiah daripada ibu bapanya sendiri. Berbagai ikhtiar sudah dibuat oleh Wani sekeluarga, namun gelang emas tersebut masih tidak dapat ditemui dan adiknya akhirnya pasrah.
“Masa dekat kedai aksesori tu adik saya keluar dari kereta. Dia tertinggal beg tangan dalam kereta dan itu kali terakhir dia tengok tu. Jadi kami syak orang terdekat yang ambil. Kami reda dengan kehilangannya selepas segala ikhtiar dilakukan. Kami ada juga minta tolong beberapa buah tahfiz dan ustaz untuk lakukan solat hajat. Tapi baru-baru ini adik saya hampir lima kali bermimpi wajah orang sama yang mungkin ambil gelang tu. Memang kami terasa barang tu dekat sangat, membuatkan kami buat solat hajat selama 18 hari berturut-turut”, katanya lagi.
Dapat Bungkusan Hitam Berisi Duit
Mangulas lanjut, keluarga Wani dikejutkan dengan satu bungkusan plastik hitam yang diletakkan di dalam raga motosikal bapanya. Apabila dibuka, mereka sekeluarga terkejut kerana terlihat wang tunai berjumlah RM8,500 dan terus menganggap ia adalah disebabkan barang kemas yang dicuri sebelum ini dan dipulangkan dalam bentuk wang ringgit.
“Semasa ayah keluar rumah, dia terkejut apabila melihat satu bungkusan hitam dalam raga motor yang disorok bawah topi. Ayah terus bawa bungkusan tu masuk dalam rumah. Ayah buka bungkusan tu depan kami dan semua orang terkejut apabila wang RM8,500 ada dalam tu. Dalam bungkusan tu terdapat satu nota bertulis ‘Saya minta maaf atas kes’.
“Saya syak dia ganti semula sebab dia berada dalam ketakutan sekarang selepas banyak posting dekat media sosial kami buat sebelum ini. Apa yang boleh saya katakan, berhati-hatilah dengan mereka yang pura-pura baik depan kita”, ujarnya di akhir kata.
Walaupun bersyukur barang sudah diganti rugi, namun mereka sekeluarga tetap berasa terkilan dengan kejadian tersebut kerana difahamkan individu tersebut mereka sekeluarga kenali.
Kredit: Mstar