Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan pihaknya memandang serius insiden melibatkan beberapa pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang tular baru-baru ini, sambil menekankan bahawa sebarang bentuk gurauan keterlaluan tidak boleh diterima sama sekali di institusi pendidikan.
![]()
Pelajar IKBN Miri Digantung Seminggu Gara-Gara Gurauan Keterlaluan
Menurut KBS, meskipun laporan perubatan mengesahkan tiada kecederaan fizikal dialami pelajar yang terbabit, mangsa tetap berdepan tekanan emosi selepas kejadian tersebut. Justeru, satu Jawatankuasa Siasatan Khas bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditubuhkan bagi mendapatkan keterangan dan merumuskan tindakan sewajarnya.
Hasil penelitian, Lembaga Tatatertib IKBN Miri memutuskan pelajar yang terlibat digantung pengajian selama seminggu, elaun diberhentikan serta-merta, selain diwajibkan melaksanakan kerja amal, melapor diri kepada pegawai disiplin serta dikenakan tahan outing selama sebulan. Semua pelajar termasuk mangsa turut diwajibkan menghadiri sesi kaunseling.
![]()
Bagi mencegah kejadian berulang, KBS mengumumkan beberapa langkah tambahan, antaranya meningkatkan pemantauan Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP), menyediakan sesi kaunseling jangka panjang dengan khidmat profesional, melantik Pegawai Perhubungan Institut bagi mengadakan program bersama IPD Miri, serta melaksanakan taklimat berkala mengenai isu buli oleh PDRM. Selain itu, peti aduan akan diperluas di lokasi strategik untuk memudahkan pelajar membuat laporan segera.
KBS menegaskan tindakan ini diambil sebagai mesej jelas bahawa budaya gurauan melampau atau sebarang bentuk buli tidak boleh dikompromi. Institusi pendidikan, katanya, harus kekal sebagai ruang selamat, berintegriti dan membina sahsiah belia selaras dengan matlamat pembangunan generasi masa depan.
Kredit: Unit Komunikasi Korporat, KBS