Seorang guru dari sebuah sekolah di Perak kini berdepan siasatan polis selepas didakwa membuat kenyataan tidak sensitif di media sosial berhubung insiden kemalangan maut yang melibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
![]()
Guru Disiasat Selepas Hina Mangsa Kemalangan UPSI, Dakwa Alami Masalah Kesihatan Mental
Kenyataan tersebut yang dimuat naik melalui akaun Facebook bernama “Khalid Yunus” mengundang kemarahan masyarakat selepas ia dianggap menghina mangsa tragedi yang berlaku di Lebuhraya Timur-Barat dekat Gerik.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung hantaran tersebut kira-kira jam 4.40 petang pada Rabu. Menurutnya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Individu terbabit dipercayai memuat naik kenyataan menyentuh sensitiviti apabila mendakwa mangsa kemalangan ‘mati dalam kehinaan’ kerana masih berhutang dengan PTPTN,” katanya dalam kenyataan rasmi.
![]()
Tambah beliau, polis menasihatkan orang awam supaya lebih berhati-hati ketika berkongsi sebarang kandungan di media sosial bagi mengelakkan tercetusnya kegusaran awam.
Susulan kecaman hebat yang diterima, individu terbabit tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan mendakwa dirinya merupakan pesakit skizofrenia.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah turut mengesahkan bahawa pemilik akaun terbabit adalah seorang guru dan siasatan dalaman telah dimulakan. Jabatan Pendidikan Negeri turut mengarahkan pihak sekolah menyediakan laporan penuh berkaitan kes ini untuk tindakan susulan.
Kredit: Majoriti Official