fbpx

Seorang guru sekolah rendah bernama Istiqomah Ahmad Rozi, yang hilang pada 26 Disember 2023 telah disahkan meninggal dunia dalam keadaan yang amat tragis selepas dipecayai dibunuh oleh bekas teman lelakinya. Mayat Istiqomah ditemukan pada 31 Disember dalam sebuah tong sampah, namun tanpa kepala, tangan, dan kaki.

Maut Dalam Keadaan Yang Menyayat Hati

Menurut laporan dari Astro Awani, Superintendan Ashari Abu Samah memaklumkan bahawa identiti mayat tersebut berjaya disahkan melalui ujian DNA yang dilakukan pada 2 Ogos, setelah dua bulan lamanya.

“Polis telah menjalankan siasatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan pada 2 Ogos oleh Bahagian Data Bank/ DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah ke atas ibu kepada seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023 di Johor mendapati ia sepadan,” jelasnya.

Dua individu yang merupakan pasangan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun, telah ditahan di Chemor, Perak, dalam usaha pihak polis untuk menyelesaikan kes ini. Penahanan mereka merupakan hasil risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) yang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dan Johor.

Pihak polis berjaya menemui sebahagian daripada anggota badan mangsa, termasuk tulang jari dan kepala, di kawasan sekitar enam kilometer dari lokasi penemuan awal mayat.

Menurut Ashari, kedua-dua suspek yang ditahan telah dibenarkan untuk direman selama tujuh hari bermula 6 Ogos. Penahanan ini turut membawa kepada penemuan lebih banyak anggota badan mangsa. Suspek lelaki dikenali mempunyai hubungan dengan mangsa, sementara isterinya tidak mengenali mangsa.

“Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Kami meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5562222 atau Pegawai Penyiasat ASP Norehan Omar di talian 010-4064003,” tambah Ashari.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa jasad wanita tersebut telah disumbat ke dalam tong sampah yang kemudian dibuang ke dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka.

Keadaan ini semakin menambah tragedi apabila bahagian kepala, tangan, dan kaki tidak ditemui di lokasi tersebut dan dipercayai telah dipotong.

Kredit: Astro Awani

[fbcomments]