Kisah tragis pembunuhan kejam melibatkan seorang guru wanita iaitu Istiqomah Ahmad Rozi telah menggemparkan media sosial sejak kelmarin.
Polis telah mengesahkan bahawa suspek yang juga merupakan kenalan lama arwah ketika di maktab perguruan, turut terlibat dalam urusan pelaburan Forex dengan mangsa.
Mangsa Pernah Pinjamkan Wang Sebanyak RM19K
Terbaru, suami kepada arwah yang bernama Mohd Yusof mendedahkan bahawa isterinya pernah meminjamkan sejumlah RM19,400 kepada suspek.
Wang tersebut diperoleh hasil pinjaman bank, dan transaksi itu berlaku pada September tahun lalu.
Menurut Mohd Yusof, suspek sempat membuat bayaran balik secara ansuran sebanyak RM371 sebulan sehingga Disember tahun lalu, sebelum cuba memujuk arwah untuk menambah pelaburan dalam Forex. Namun, ajakan itu ditolak oleh Istiqomah.
Malangnya, nasib tidak menyebelahi Istiqomah. Barang kemas yang dipakai oleh mangsa, termasuk gelang emas pemberian arwah neneknya yang dianggarkan bernilai RM40,000, juga dilaporkan hilang selepas kejadian tragis itu.
Menurut suami mangsa, hatinya hancur mengetahui bahawa isterinya yang hilang selama lapan bulan akhirnya ditemukan dalam keadaan tragis, dengan beberapa anggota badannya dikerat dan dibuang di sekitar Melaka.
“Walau apa pun sebabnya, sama ada kerana wang atau emas, tindakan kejam seperti ini tidak boleh diterima. Sekarang, tiga anak kami yang masih kecil—berusia 4, 6, dan 9 tahun—terpaksa membesar tanpa kasih sayang seorang ibu,” katanya dengan penuh emosi.
Setakat ini, pihak keluarga masih menunggu panggilan dan arahan daripada pihak polis untuk menuntut jenazah dan membawanya pulang ke kampung halaman di Kelantan bagi urusan pengebumian.
Kredit: Kosmo!