Faktor kesihatan menjadi penyebab pembatalan Konsert Hael Husaini Live in KL yang sepatutnya berlangsung pada 19 Februari 2023.

Syarikat pengurusan Hael iaitu Rocketfuel Entertainment memaklumkan, mereka terpaksa mengambil keputusan itu walaupun segala persiapan hampir selesai.

“Pihak Rocketfuel Entertainment menzahirkan rasa dukacita atas pembatalan konsert in kerana segala persiapan sudah pun menghampiri 70 peratus.”

“Pelbagai aksi menarik telah direncanakan dengan lebih kurang 30 buah lagu yang bakal dipersembahkan nanti.”

Jadual kerja yang terlalu padat

“Kebelakangan ini, kesihatan Hael tidak berapa baik disebabkan jadual kerja yang terlalu padat namun dia masih giat dengan persiapan konsert sehingga tahap kesihatannya merosot.”

Wakil syarikat berkenaan memberitahu pihaknya akan memulangkan semula wang peminat yang sudah membeli tiket konsert berkenaan.

Peminat boleh menghubungi talian Ubertickets Whatsapp Hotline 019 5881810 untuk proses pengembalian wang tiket konsert.

Sebelum ini, pelantun lagu Jampi itu melahirkan rasa teruja dengan penganjuran konsert tersebut dan menganggap ia sebagai impian menjadi kenyataan selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

Konsert yang sepatutnya berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu juga, sebelum ini ditunda dari 4 Disember 2022 ke Februari atas isu yang sama.

[fbcomments]