Pelawak Harith Iskander kini menjadi perhatian selepas memuat naik satu hantaran di Facebook yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama Islam. Tindakan tersebut telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, di mana ramai menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isi kandungan hantarannya.
Harith Iskander Dikecam Akibat Sentuh Sensitiviti Agama, Shahrol Shiro Buat Laporan Polis
Dalam hantaran tersebut, Harith meluahkan kekeliruannya mengenai menu minuman tertentu yang dikaitkan dengan ungkapan “menggugat iman”. Keadaan bertambah tegang apabila salah seorang pengguna media sosial, dikenali sebagai Cecelia Yap Song KL, meninggalkan komen yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
Insiden ini mendorong pelawak Shahrol Azizie Azmi atau Shahrol Shiro, untuk mengambil tindakan tegas. Shahrol telah membuat laporan polis terhadap Harith dan individu tersebut, sambil menyeru agar pihak berkuasa segera menyiasat perkara ini.
Menurut Shahrol, sebagai figura awam, Harith perlu lebih sensitif terhadap isu yang melibatkan agama.
“Sebagai pelawak tidak semua sudut pandang boleh dijadikan bahan lawak kita. Adakala kita patut lebih sensitif lebih lagi melibatkan agama kita. Apabila saudara Harith Iskander membuka ruang agama dijadikan satu bahan yang boleh dipersenda maka pengikut juga akan ikut serta dengan meninggalkan komentar mempersenda agama kita.
“Perkara ini sudah melampau dan satu laporan polis akan dibuat mengenai perkara ini,” jelasnya.
Shahrol turut berkongsi di Instagram mengenai laporannya dan menegaskan bahawa perbuatan seperti ini perlu dihentikan segera. Beliau berharap tindakan tegas dapat diambil demi menjaga keharmonian dan menghormati nilai agama.
Kes ini telah mencetuskan reaksi berbeza daripada masyarakat, dengan ramai yang menyokong langkah Shahrol. Mereka berharap isu ini menjadi peringatan kepada semua untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan di media sosial, terutama yang melibatkan perkara sensitif seperti agama.
Kredit: Instagram Shahrol_Shiro