Pelakon veteran Malaysia iaitu Jalil Hamid, 66, telah mendedahkan bahawa dirinya kini mengalami penurunan berat badan yang mendadak sebanyak 30 kilogram (kg) akibat masalah kesihatan jantung dan hilang selera makan.
Susut 30kg Dan Hilang Selera Makan Sejak Setahun Yang Lalu
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Utusan Online, Jalil memaklumkan bahawa selera makannya semakin menghilang sejak setahun yang lalu dan beliau kerap muntah selepas makan sehingga terpaksa memakan hidangan yang lembut seperti bubur.
“Dalam tempoh setahun ini, berat badan turun banyak iaitu sekitar 30kg sebab bila makan, memang akan keluar semula. Jadi, saya hanya boleh makan sesuatu yang cair seperti bubur,”katanya.
Beliau juga memberitahu bahawa dirinya kini sudah tidak boleh memandu dan amat memerlukan bantuan isterinya untuk kemana-mana. Difahamkan, penurunan berat badan itulah yang telah membuatkan dirinya tidak stabil ketika berjalan.
Jalil Hamid Alami Jantung Bengkak
Mengulas lanjut, Jalil Hamid mengatakan beliau disahkan mengalami masalah jantung bengkak selepas menjalani pembedahan sekitar Julai tahun lalu. Katanya sejak hari itu, beliau perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap bulan di hospital kerana disyaki menghidapi masalah berkaitan jantung.
“Doktor ada minta dimasukkan ke wad tapi saya menolak. Alhamdulillah, saya masih okey dan sudah mampu berjalan berbanding sebelum ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga meluahkan rasa syukur dan berterima kasih apabila terpilih untuk menerima sumbangan daripada rakan-rakan artis dan pihak zakat pada Jumaat semalam. Pemberian zakat tersebut dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung terutama berkaitan perbelanjaan perubatan kerana beliau tidak mahu membebankan anak-anaknya.
“Saya kalau boleh tidak mahu bebankan anak-anak dengan masalah saya. Mereka juga ada baru bekerja dan berkeluarga ditambah pula kos sara hidup memang tinggi sekarang. Sekurang-kurangnya sumbangan sebegini dapatlah meringankan beban saya dan isteri. Ubat jantung saya juga sudah mencecah seribu ringgit,” ujarnya.
Sudah Tiga Tahun Tak Berlakon
Difahamkan lagi, Jalil dikatakan sudah hampir tiga tahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon akibat masalah kesihatan yang dihadapinya itu. Beliau turut mengakui bahawa dirinya rindu untuk beraksi di hadapan kamera semula kerana dunia lakonan sudah sebati dengan dirinya.
“Sebenarnya hampir tiga tahun saya tidak berlakon. Mungkin saya direhatkan. Barangkali produksi juga risau untuk ambil saya berlakon, manalah tahu lepas ‘shooting’ dua, tiga hari sudah ‘gone’ (meninggal dunia). Hakikatnya, saya memang tidak boleh tinggalkan dunia lakonan. Kerjaya ini sudah sebati, tidak boleh buat kerja lain lagi,” jelasnya.
Kredit: Utusan Online