Tidak dinafikan ramai warga kota yang pulang berhari raya sempena sambutan Aidiladha yang lalu. Walaupun ramai yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya, namun tanggungjawab sebagai seorang hamba, tidak diabaikan.
Ini dapat dilihat dimana, telah tular sekeping gambar menunjukkan rakyat Malaysia beragama Islam menunaikan solat di lorong kecemasan. Difahamkan mereka ini telah terperangkap berjam-jam lamanya di atas jalan raya dan hentian di R&R turut didakwa sesak.
Tapi Mufti kata haram
“Melakukan sesuatu yang memudaratkan diri hukumnya adalah haram walaupun perkara dilakukan itu wajib, cuba ikhtiar supaya dapat solat pada waktu tepat dalam keadaan selamat.”
Demikian komen Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berhubung tindakan pengguna lebuh raya yang menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akibat kesesakan lalu lintas.
Islam turut pinta umatnya pelihara nyawa
Abdul Rahman berkata, solat adalah perkara wajib dilakukan umat Islam bagaimanapun Islam meletakkan pemeliharaan nyawa sebagai pokok utama.
“Matlamat memelihara agama (hifz al-din) tidak akan tercapai kecuali dengan memelihara nyawa (hifz al-nafs).
“Begitu juga dalam situasi ini, jika membahayakan nyawa hukumnya adalah haram tetapi solat wajib dilakukan terutama waktu Subuh yang tidak boleh dilakukan secara jamak.”
Boleh tapi ada caranya
Walau bagaimanapun, menurut beliau jika keadaan terdesak hingga menyebabkan pengguna jalan raya perlu menunaikan solat di tepi jalan, mereka perlu memastikan diri dan orang ramai selamat.
“Mungkin pengguna berkenaan boleh memasang lampu atau meletakkan benda supaya dapat memberitahu pengguna jalan raya lain.
“Bagaimanapun, jika keadaan terdesak, boleh melakukan solat secara menghormati waktu tetapi wajib qada sebaik tiba di destinasi masing-masing.”
Kenyataan Pihak Lebuhraya Pantai Timur
Syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad (ANIH) turut menggesa orang ramai tidak menunaikan ibadah solat di lorong kecemasan lebuh raya atas faktor keselamatan.
ANIH dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya bimbang jika dibiarkan keadaan itu berterusan menyebabkan penunggang motosikal dan kenderaan lain tidak menyedari kehadiran individu sedang menunaikan solat di lorong kecemasan.