Pelawak Harith Iskander dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas didapati terlibat dalam isu hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. di platform media sosial, baru-baru ini.

Turut menerima kompaun atas kesalahan yang sama ialah seorang lagi individu, Cecelia Yap, yang masing-masing didapati memuat naik kandungan jelek berkaitan agama Islam menerusi akaun Facebook pada 18 Januari lalu.

Harith Iskander Dikompaun RM10,000, SKMM Ambil Tindakan Berhubung Isu Hantaran Jelek di Media Sosial

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan kompaun itu dikenakan selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kesalahan ini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sedia ada sebelum pindaan akta baharu berkuat kuasa mulai 11 Februari 2025,” kata SKMM.

Mengulas lanjut, pihak SKMM memaklumkan kandungan hantaran terbabit telah pun dipadamkan oleh pihak Meta selepas didapati melanggar garis panduan komuniti platform berkenaan.

Sementara itu, SKMM turut memberi perhatian terhadap isu lain yang tular melibatkan beberapa penyampai radio swasta yang dipercayai menyentuh sensitiviti agama Hindu. Difahamkan, kertas siasatan berkaitan insiden tersebut sedang disiapkan sebelum diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengesahkan telah mengadakan pertemuan bersama Harith Iskander berhubung isu terbabit susulan aduan yang diterima, selain laporan rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan perkara itu.

SKMM dalam kenyataan sama menegaskan komitmen mereka untuk terus memantau kandungan dalam talian, khususnya yang boleh menjejaskan sensitiviti agama serta keharmonian masyarakat, selaras dengan undang-undang sedia ada.

Kredit: Facebook SKMM

 

 

 

 

[fbcomments]