Hasrat seorang suami untuk membeli makanan segera bagi memenuhi keinginan isterinya yang sedang hamil tidak kesampaian apabila motosikal yang dinaiki mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Batu Berendam baru-baru ini.

Hasrat Bawa Isteri Makan KFC Terbantut, Motor Sangkut JPJ

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu, pasangan berusia lingkungan 30-an itu didapati melakukan beberapa kesalahan termasuk menunggang tanpa lesen memandu, kenderaan tanpa cukai jalan serta kerosakan pada sistem lampu isyarat dan lampu brek.

Pengarah JPJ Melaka berkata, hasil pemeriksaan mendapati motosikal yang ditunggang pasangan terbabit tidak menepati syarat teknikal yang ditetapkan dan tidak layak untuk berada di atas jalan raya.

“Motosikal tersebut didapati berada dalam keadaan yang membahayakan pengguna jalan raya lain. Dua saman telah dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya dalam satu kenyataan media.

Difahamkan, penunggang memaklumkan mereka sedang dalam perjalanan ke sebuah restoran makanan segera bagi memenuhi keinginan isterinya yang sedang mengidam.

Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 745 kenderaan diperiksa dan sejumlah 197 kesalahan pelbagai direkodkan.

Sementara itu, dalam operasi berasingan menerusi Ops Khas Tali Pinggang Keledar yang dilaksanakan sejak 1 Julai lalu, JPJ turut mengesan sebanyak 153 kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dalam bas, melibatkan 135 penumpang dan 18 pemandu daripada keseluruhan 350 buah bas yang diperiksa.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 191 adalah bas ekspres manakala selebihnya merupakan bas persiaran.

Kredit: Kosmo!

 

[fbcomments]