fbpx

Hasrat pasangan suami isteri untuk pulang beraya kali pertama di kampung halaman tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan di Persiaran Forest Height 1 pada Isnin.

Baru Setahun Berkahwin Dan Meninggalkan Seorang Anak Perempuan

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Harian Metro, difahamkan pasangan terbabit yang telah berkahwin selama setahun turut meninggalkan seorang anak perempuan berusia lapan bulan.

Mangsa iaitu , Aswan Sulaiman, 29 dan Nur Khairunnisya Samsudin, 23, dikatakan ketika kejadian jam 7.20 pagi itu, mereka sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Senawang dengan menaiki motosikal.

Bapa kepada mangsa perempuan, Samsudin Basirun, 52, memberitahu bahawa dia menyangka anak dan menantunya hanya terlibat dalam kemalangan biasa ketika dihubungi polis semalam.

“Ketika itu saya di tempat kerja dan polis hubungi memaklumkan anak kemalangan. Saya fikir ia kemalangan biasa saja, namun apabila polis beritahu kedua-duanya sudah tiada, saya macam nak pengsan,” katanya ketika ditemu bual.

Teruja Mahu Pulang Beraya Di Sabah Buat Kali Pertama, Namun Tidak Kesampaian

Tambah Samsudin lagi, anak dan menantunya itu tidak menunjukkan sebarang tanda ketika bersahur bersama pada awal pagi semalam.

“Namun anak perempuan saya sangat teruja untuk pulang berhari raya di Sabah iaitu rumah keluarga suaminya dan difahamkan mereka sudah membeli tiket penerbangan. Mereka tidak pernah langsung pulang ke Sabah selepas berkahwin. Ketika majlis perkahwinan setahun lalu, pihak besan yang datang ke sini.

“Tapi memandangkan anak mereka (cucu) sudah berusia lapan bulan, saya suruh mereka pulang bertemu keluarga di sana dan yang sedihnya tiket kapal terbang sudah dibeli, begitu juga baju raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban iaitu Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din memaklumkan bahawa kemalangan tersebut membabitkan motosikal dinaiki mangsa dengan sebuah kereta Perodua Myvi.

“Siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dipandu perempuan berusia 19 tahun datang dari Seremban Jaya menghala ke sebuah kolej tingkatan enam di Forest Height.

“Apabila sampai di lokasi, kereta itu dikatakan membelok ke simpang kanan menuju ke Persiaran Forest Heights 2 dan pada masa sama motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan dipercayai melanggar sisi kiri kereta terbabit,” katanya.

Akibat daripada kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian. Manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Kredit: Harian Metro, Foto Berita Harian

[fbcomments]