Kesedihan yang sukar digambarkan menyelubungi hati seorang ibu apabila kehilangan anak perempuan tersayang yang maut akibat ditikam pelajar lelaki 14 tahun dalam kejadian tragik di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya baru-baru ini.
“Dia Anak Yang Terlalu Baik” – Ibu Mangsa Tikaman Luah Kesedihan
Dalam satu hantaran penuh emosi di laman Facebook, wanita berkenaan menggambarkan anaknya sebagai seorang gadis yang lemah lembut, matang dan sentiasa mengutamakan keluarga. Katanya, anak berusia 16 tahun itu tidak pernah menyusahkan sesiapa dan sentiasa menunjukkan sikap prihatin terhadap orang di sekelilingnya.
“Dia bukan sahaja seorang anak yang baik, malah kehadirannya membawa kebahagiaan kepada semua. Hatinya penuh kasih sayang dan jiwanya sangat halus,” tulis si ibu.
Beliau turut meluahkan rasa tidak tergambar apabila anak sebaik itu menemui ajal dengan cara begitu kejam.
“Hati ini hancur. Saya masih tidak mampu menerima kenyataan bahawa dia sudah tiada,” katanya, sambil berharap roh anaknya ditempatkan dalam kalangan insan beriman dan tenang di alam abadi.
Dalam perkongsian sama, si ibu turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tidak henti-henti menitipkan doa serta sokongan buat keluarganya. Difahamkan, upacara penghormatan terakhir untuk mangsa akan diadakan pada Isnin depan di Nirvana Kuala Lumpur, sementara penghormatan awal bermula hari ini.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan bahawa remaja lelaki berusia 14 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan, siasatan awal mendapati tindakan suspek dipercayai berpunca daripada emosi tidak terkawal serta dipengaruhi oleh kandungan di media sosial.
Kredi: Malaysia Gazette