Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan bahawa sebuah pesawat M81-11 (Agusta A109 LOH) yang membawa tiga anak kapal terpaksa melakukan pendaratan kecemasan pada pukul 1.35 pagi Jumaat tadi.
Helikopter TDM Mendarat Cemas
Difahamkan bahawa insiden berlaku semasa Latihan Penerbangan Malam bagi Kursus Army Aviation Basic Officer Course di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang, Johor. Menurut kenyataan rasmi Tentera Darat Malaysia (TDM), kejadian melibatkan seorang jurulatih helikopter, seorang penuntut kursus, dan seorang kru kuatermaster.
Kru yang terlibat dalam insiden tersebut dilaporkan dalam keadaan sedar, dengan hasil pemeriksaan perubatan awal mengenal pasti beberapa kecederaan seperti patah tulang belakang dan luka-luka di beberapa bahagian badan.
“(Antaranya) seperti patah tulang belakang dan luka-luka di beberapa bahagian anggota badan serta lain-lain kecederaan yang mash belum dikenal pasti,” jelasnya.
Keadaan keseluruhan anak kapal adalah stabil dan mereka telah dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk mendapatkan rawatan lanjut.
TDM turut mengumumkan bahawa satu Lembaga Siasatan akan diadakan untuk mengkaji punca sebenar kejadian yang melibatkan helikopter tersebut.
Dalam masa yang sama, TDM menggesa agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini dan mendoakan agar semua anak kapal pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialami.
Kredit: Harian Metro