Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa pihak mereka telah menahan seorang lelaki warga Israel yang hidup mewah di sebuah hotel lima bintang di Jalan Ampang pada Rabu yang lepas.
Suspek Gunakan Pasport Perancis Masuk Ke Malaysia
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa semasa pemeriksaan dilaksanakan, suspek menyatakan bahawa dia menggunakan pasport Perancis untuk masuk ke negara ini.
Walau bagaimanapun, suspek yang berusia 36 tahun itu kemudiannya memberikan satu lagi pasport miliknya yang mempunyai taraf kewarganegaraan Israel.
“Dalam pemeriksaan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merampas enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru di bilik hotel tersebut.
“Semasa soal siasat dijalankan, polis mendapati suspek telah masuk ke Malaysia pada 12 Mac lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan pasport Perancis,” katanya semalam.
Razarudin turut menambah polis menemukan senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg. Katanya, siasatan mendapati suspek membeli kesemua senjata api tersebut sebaik tiba di negara Malaysia dengan menggunakan mata wang kripto.
Namun pembayaran senjata yang dibeli masih belum diketahui dan siapa yang menerima bayaran bagi transaksi tersebut.
“Soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap suspek mendapati, dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh berkaitan isu keluarga. Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai agenda lain datang ke negara ini,” jelasnya.
Hidup Berpindah Randah Dan Tidak Gerak Sendirian
Ujar beliau, polis juga percaya bahawa suspek tidak bergerak bersendirian dan berkemungkinan dia mempunyai rangkaian bersama individu tertentu yang masih belum dikenal pasti. Suspek juga dipercayai berpindah randah dan tinggal di dua atau tiga hotel berlainan sebelum diberkas.
“Dia telah masuk ke negara ini menaiki penerbangan melalui Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia. Pada mulanya kita mendapat maklumat awam pergerakannya yang meragukan, sebelum kita mengekori dan bertindak menahan suspek,” katanya.
Kredit: Harian Metro