Seorang lelaki yang juga merupakan juruteknik dilaporkan telah dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan, beserta denda sebanyak RM12,000 sambil tertuduh mendakwa dirinya hanya ingin menjadi ‘keyboard warrior’ dan tidak mengetahui kalimah ‘Allah’ yang ditulis menghina agama Islam.

Tertuduh Dijatuhi Hukuman Penjara Dan Denda

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Buletin TV3, tertuduh iaitu Chiok Wai Loong, 34, didapati mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan membuat hantaran di media sosial bersifat jelik berkaitan kalimah Allah.

Dalam rayuannya, difahamkan tertuduh memohon untuk tidak dipenjarakan kerana tidak mahu kehilangan kerja.

“Saya tidak sengaja, hanya mahu menjadi ‘keyboard warrior’, saya tidak tahu perkataan itu sensitif kepada orang lain. Kami orang Cina ada rantai kaki dan tangan serta tatu Tuhan di pelbagai bahagian badan, ingat hanya kecil punya hal, saya tidak tahu perkataan ini boleh jadi menghina,” rayunya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman berat, setimpal dan menjadi pengajaran kepada masyarakat di luar sana.

“Sebanyak 24 laporan polis dibuat orang ramai berhubung isu ini yang menunjukkan keseriusan hantaran yang dibuat bersifat sensitif kepada penganut agama Islam,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh telah tampil memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menambahkan ketegangan dalam isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka terbabit.

Dia membuat permohonan itu dengan dikelilingi sekumpulan lelaki yang mencarinya kerana tidak berpuas hati dengan komen yang berbaur penghinaan terhadap agama Islam yang dibuat oleh tertuduh.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]