Pelakon Eyra Hazali tampil memberikan penjelasan berhubung isu yang tular di media sosial mengenai ibu membawa anak lelaki masuk ke tandas wanita.

Menurut Eyra atau nama sebenarnya Hazira Qasdina Hazali, 26, situasi itu berlaku kerana dia kini melalui kehidupan perkahwinan jarak jauh (PJJ) bersama suaminya, penjaga gol Harimau Malaya, Haziq Nadzli.

Isu Anak Lelaki Masuk Tandas Wanita, Eyra Hazali Terangkan Situasi PJJ Dengan Suami

Jelas Eyra, tanpa kehadiran suami, dia tidak mempunyai pilihan lain selain membawa ketiga-tiga anak lelakinya bersama ketika mengunjungi pusat beli-belah atau tempat awam. Namun, katanya, dia mengambil langkah berhati-hati demi menjaga keselesaan pengguna tandas wanita yang lain.

“Saya ada tiga anak lelaki dan PJJ dengan suami. Nak tak nak kalau keluar pergi pusat beli-belah atau ke mana sahaja tanpa suami memang kitalah kena bawa ke tandas. Tapi saya dah ajar anak-anak, kalau masuk tandas wanita mereka kena tutup mata atau peluk saya sambil menghadap ke arah lain,” jelas Eyra menerusi hantaran di Threads.

Tambahnya lagi, dia lebih cenderung memilih pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan tandas kanak-kanak kerana keadaan itu lebih sesuai dan selesa untuk anak-anaknya. Pada masa sama, Eyra berharap orang ramai, khususnya kaum wanita, dapat memahami situasi yang dihadapi oleh ibu sepertinya.

“Kadang-kadang kita kena faham situasi orang lain juga ya para ibu,” katanya.

Isu tersebut menjadi hangat selepas seorang pengguna media sosial meluahkan pendapat bahawa kanak-kanak lelaki berusia tujuh hingga sembilan tahun tidak seharusnya dibawa masuk ke tandas wanita. Perkongsian itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen dengan pandangan berbeza.

Untuk rekod, Eyra mendirikan rumah tangga dengan Haziq pada 1 November 2019. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Hayder Qhalish, 5, Muhammad Endra Haqimie, 3, dan Muhammad Hud Ezqandar yang kini berusia setahun.

Kredit: Threads eyra.hazali

[fbcomments]