Tanggapan negatif terhadap hospital kerajaan yang selalu dibandingkan dengan kehebatan perkhidmatan di hospital swasta perlu diubah oleh segelintir masyarakat yang beranggapan sikap kakitangan seolah-olah acuh tak acuh terhadap pesakit.
Terbaru, sebuah posting di laman Facebook yang kelihatan seorang doktor wanita sedang bertugas di Hospital Melaka mungkin sedikit sebanyak dapat menepis dakwaan tersebut.
Posting berkenaan dimuat naik seorang individu dikenali sebagai Anwar yang memaparkan Dr Lia melayan dengan menyuapkan makanan kepada pesakit warga emas tanpa berasa kekok seperti bapa sendiri.
Dr Lia yang bertugas di wad D4 Ortopedik sanggup berdiri untuk beberapa minit bagi menunggu pesakit untuk menikmati makanan yang disuap dengan penuh sabar.
“Siapa kata hospital kerajaan takde layanan VVIP? Just for your future reference kepada ejen insuran di luar sana. Tolong jangan lagi katakan layanan buruk diberi oleh hospital kerajaan. Bukan semua orang layak dan mampu membeli pakej medical card anda,” tulis Anwar.