Masihkah anda ingat dengan kisah seorang wanita yang juga merupakan ibu kepada empat orang cahaya mata yang menyelongkar tong sampah bersama anaknya mencari barangan kitar semula demi kelangsungan hidup? Kisah ibu ini telah menarik perhatian ramai netizen.
Oleh kerana kisahnya itu cukup menyayat hati dan tular di media sosial, maka ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan termasuk Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, selain turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Namun baru-baru ini kita semua telah dikejutkan pula dengan berita dimana ibu kepada empat cahaya mata berusia 36 tahun itu ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumahnya di Kampung Baru Nelayan, Tumpat menerusi serbuan pada 8.30 pagi bersama adik lelakinya berusia 34 tahun.
Apa yang menduka cita ialah, semasa ditahan wanita terbabit dalam keadaan khayal dadah dipercayai selepas mengambil pil kuda.Ketika ditemui di Pejabat AADK Daerah Tumpat, wanita itu dalam keadaan gelisah dan mendakwa ‘bengkak susu’ kerana tidak menyusu anak bongsunya yang berusia setahun empat bulan beberapa jam selepas ditahan.
Ketika ditanya punca mengambil dadah, wanita itu mendakwa mengalami tekanan perasaan dan berdepan dengan banyak masalah menyebabkan mengambil jalan singkat susulan ditinggalkan suami sejak lebih dua tahun lalu.
Saya mengaku sudah lama mengambil pil kuda, tetapi berhenti sejak mengandung anak bongsu lebih dua tahun lalu. Namun, kini saya kembali menagih kerana tekanan hidup.
Banyak masalah dihadapi termasuk memikirkan suami yang entah ke mana menghilang, kemiskinan hidup dan masyarakat sekitar sentiasa memandang serong terhadap saya sekeluarga.