fbpx

Seorang lelaki berusia 24 tahun di tahan polis di Kamunting, Perak pada Jumaat selepas memuat naik komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapa kepada pelakon Naim Daniel di media sosial beberapa hari yang lepas.

Lelaki Ditahan Polis Kerana Komen Berbaur Ancaman Bunuh

Ketua Polis Daerah Nilai iaitu Superintendan Abdul Malik Hasim memaklumkan bahawa pihaknya turut merampas sebuah telefon pintar bersama suspek bagi membantu siasatan.

“Rabu lalu, Balai Polis Lenggeng menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang selebriti mengenai kejadian berkenaan.

“Berdasarkan laporan, pengadu dipercayai menerima satu ugutan jenayah dari individu yang tidak dikenali di laman sosial kira-kira pukul 9.50 malam.

“Suspek direman selama empat hari mulai Sabtu hingga 21 Mei depan untuk siasatan kes ini,” katanya semalam.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 iaitu jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kertas siasatan itu juga akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan dalam masa terdekat.

Terdahulu, media melaporkan Naim Daniel telah menerima satu komen berbaur ugutan bunuh selepas dia memuat naik video berhubung isu boikot berikutan keganasan Israel-Palestin.

Naim Daniel kemudiannya membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih, Selangor.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]