Seorang wanita yang menunggang motosikal sambil membawa dua anak kecilnya telah diragut oleh seorang penyamun dalam kejadian di Taman Bandar Senawang semalam.
Video di bawah:
https://x.com/update11111/status/1793534004035277219?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Peragut Samun Ibu Naiki Motor Bersama Dua Anak Kecil
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban iaitu Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, beliau memaklumkan bahawa suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha meragut gelang tangan wanita itu, sebelum melarikan diri pada 12.30 tengah hari.
“Semalam, kami mengesan satu video klip berdurasi 16 saat yang tular di X memaparkan satu kejadian ragut membabitkan seorang wanita.
“Gelang tangan emas dipakai mangsa diragut suspek seorang lelaki yang menunggang motosikal di Taman Bandar Senawang dan kejadian itu terakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ia tular,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Hatta turut menambah hasil siasatan mendapati ketika kejadian mangsa seorang wanita berusia 33 tahun bersama dua anak menaiki sebuah motosikal di Jalan Dareca 2.
“Tiba-tiba, datang seorang lelaki dipercayai warga tempatan yang menunggang Yamaha 125Z berwarna biru meragut gelang emas milik mangsa.
“Suspek kemudiannya melarikan diri. Pengadu bernasib baik kerana berjaya mengawal motosikal dan tidak terjatuh. Mangsa dengan dua anak tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Pihak polis kini giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Kredit: Harian Metro, X update11111