Seorang pelajar Tingkatan 3 kini bertarung nyawa selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor.
Mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang ditidurkan di hospital untuk pemantauan rapi.
![]()
Pelajar Tingkatan 3 Kritikal, Keluarga Dakwa Ada Unsur Buli
Menurut ibunya, Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, terdapat beberapa perkara yang menimbulkan keraguan terhadap kejadian tersebut. Hasil imbasan perubatan mendapati Irfan mengalami pendarahan di kedua-dua bahagian otak, kecederaan pada paru-paru serta rahang yang patah.
“Kalau benar jatuh dari tingkat tiga, sepatutnya banyak lagi tulang yang patah. Tapi laporan menunjukkan hanya rahang sahaja yang retak. Itu sebab kami syak ada unsur buli,” katanya.
Siti Muhaini turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lambat memaklumkan kejadian. Katanya, keluarga hanya dimaklumkan sekitar jam 4 pagi, sedangkan insiden dikatakan berlaku kira-kira jam 2 pagi.
Tambahnya lagi, warden asrama memaklumkan bahawa anaknya terjatuh selepas makan mi segera. Namun, hasil pemeriksaan perubatan menunjukkan tiada sisa makanan ditemui dalam perut mangsa.
Berikutan keraguan itu, laporan polis dibuat oleh keluarga pada jam 5 pagi di Balai Polis Sabak Bernam. Difahamkan, lima pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan, namun setakat ini tiada seorang pun memberikan keterangan.
![]()
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Dato’ Shazeli Kahar mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Kanak-kanak 2001. Beliau berkata, siasatan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakannya.
“Polis masih mengumpul keterangan saksi dan pihak berkaitan. Buat masa ini, terlalu awal untuk mengesahkan sama ada wujud unsur buli seperti yang didakwa keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan mahupun menambah tekanan kepada keluarga mangsa.
Kredit: Sinar Harian