Keluarga kepada pempengaruh media sosial, Fatin Syazwani Ishak, yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes melibatkan menantunya, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman atau lebih dikenali sebagai Prince Syed, telah dibebaskan polis sekitar jam 7 malam semalam.

Antara yang ditahan ialah ibu Fatin, Aminah Haniffa, 55, suaminya Ishak Saif, 59, serta dua anak mereka, Muhd Syahmi Faiz, 31, dan Muhd Ikhwan Alif, 22.

Keluarga Fatin Syazwani Dibebaskan, Ibu Dedah Pengalaman Bermalam di Lokap & Rasa Terkilan Terhadap Menantu

Berkongsi pengalamannya selepas dibebaskan, Aminah menyifatkan detik bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sebagai pengalaman paling perit dalam hidupnya. Menurutnya, dia tidak pernah menyangka akan melalui situasi itu, apatah lagi hanya kerana ingin menziarahi anak perempuannya yang kini dirawat di hospital.

“Sepanjang berada dalam lokap, mak cik banyak menangis… mak cik cuma terbayangkan keadaan Fatin di hospital,” katanya ketika ditemui di pejabat peguam bela Yazid Tishondra di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin.

Aminah menjelaskan, dia bersama suami dan dua anak bertolak dari kediaman mereka di Gerik, Perak ke sebuah hospital di Selangor pada Sabtu lalu selepas dimaklumkan bahawa Fatin menerima rawatan di situ. Namun, setibanya di hospital sekitar jam 9 malam, mereka tidak dapat bertemu dengan Fatin kerana waktu melawat telah tamat. Keluarga itu kemudian bermalam di rumah anak saudara mereka yang juga sepupu kepada Fatin.

@meltycheese2

allahuakbar 🥹 #fyp #princesyed #malaysiatiktok #foryoupage #fypシ゚

♬ original sound – munckin 💥 – 🍃

Keesokan harinya, mereka kembali ke hospital pada waktu melawat namun masih tidak dibenarkan naik ke wad. Aminah berkata, mereka sempat terserempak dengan menantunya, Prince Syed, namun lelaki itu langsung tidak menyapa mereka.

“Sampai habis waktu melawat, kami tak dibenarkan naik kecuali sepupu Fatin. Bila nak gerak balik, kami nampak kereta Syed keluar laju dari hospital,” katanya.

Menurutnya lagi, dia bersama suami dan dua anak kemudian mengekori kenderaan menantunya itu sehingga tiba di rumah kakaknya di Taman Bertih Laut, Teluk Pulai, Klang. Di situlah berlaku sedikit kekecohan apabila mereka cuba menahan kereta dipandu Prince Syed yang dipercayai mahu berpatah balik.

“Mak cik mengaku geram sangat waktu itu dan ada naik tangan, tapi cuma terkena sikit saja sebab dia elak. Kereta yang dia pandu pun hampir langgar mak cik, sebab itu anak mak cik marah dan angkat topi keledarnya,” jelasnya.

Aminah mengakui tidak menyangka insiden itu akan berlarutan hingga menjadi kes polis, memandangkan hubungan mereka dengan menantu itu sebelum ini baik dan tidak pernah bermasalah. Namun dia mengaku terkilan apabila mendakwa Prince Syed tidak membenarkan dirinya dan ahli keluarga lain bertemu dengan Fatin, selain tidak memaklumkan langsung mengenai pembedahan bariatrik yang dijalankan terhadap anaknya.

“Sejak dia kahwin dengan anak mak cik, mak cik dah anggap dia macam anak sendiri. Siapa yang tak sayang menantu… kalau tak sayang, lama dah mak cik minta mereka berpisah. Tapi mak cik tak pernah sebut pun perkataan itu, jauh sekali berpakat dengan dia untuk buat ‘content’,” katanya menepis tuduhan sesetengah pihak.

Dalam nada sebak, Aminah turut meluahkan hasrat untuk bertemu Fatin dan dua cucunya sebelum pulang ke kampung kerana sudah lama tidak bersua muka.

“Mak cik nak sangat jumpa Fatin, nak tengok keadaannya sebelum balik. Nak jumpa cucu juga. Apa pun jadi, mak cik tetap sayang anak mak cik dan nak dia balik semula ke pangkuan mak cik. Tapi mak cik dah maafkan Fatin… cuma sampai mati, mak cik takkan maafkan Syed,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah, mengesahkan bahawa Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut di bawah Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan, susulan laporan yang diterima berkaitan insiden itu.

Kredit: Harian Metro

 

 

 

[fbcomments]