Ibu kepada seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menuntut agar siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kematian anaknya, termasuk permintaan untuk melakukan bedah siasat kali kedua.
![]()
Ibu Mahu Bedah Siasat Kedua Bagi Siasat Kematian Pelatih PALAPES UTM
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata beliau bersedia sekiranya kubur anaknya, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, digali semula demi mendapatkan kepastian punca sebenar kematian. Permohonan rasmi telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurutnya, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan awal bahawa anaknya meninggal dunia akibat serangan sawan kerana pemeriksaan pada jasad mendapati terdapat beberapa kecederaan yang mencurigakan.
“Kami dapati ada lebam di bahagian mata, pendarahan luar biasa dari hidung dan mata, luka di mulut serta kesan pendarahan di leher yang ditutup kapas tebal. Keadaan ini tidak selari dengan punca kematian yang diberitahu,” katanya.
![]()
Ummu mendakwa, ketika menerima jasad anaknya, beliau hanya dibenarkan melihat dari satu sudut sahaja dan tidak diberi kebenaran untuk memeriksa keseluruhan tubuh atau mengambil gambar dengan bebas.
“Gambar yang sempat diambil jelas menunjukkan kecederaan tersebut. Malah, perkara ini turut saya rujuk kepada adik saya yang merupakan seorang doktor,” ujarnya.
Beliau percaya ada unsur jenayah yang menyebabkan kematian anaknya dan mahu wakil peguam keluarga dilibatkan dalam jawatankuasa khas penyiasatan kes ini.
![]()
Peguam keluarga, Datuk Naran Singh, sebelum ini turut menghantar permohonan inkues kepada AGC bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan tanpa sebarang perlindungan kepada mana-mana pihak.
Sebelum ini, arwah Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan PALAPES di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Ulu Tiram, Johor. Hasil bedah siasat awal di Hospital Sultan Ismail mendapati terdapat kecederaan pada tubuh, namun ia dikatakan berpunca daripada sawan, sesuatu yang dipertikaikan oleh keluarga.
Kredit: Harian Metro